Monday, May 28, 2012

SEJARAH AWAL FALAK / ASTRONOMI


Ilmu falak dikenal juga sebagai Ilmu Bintang atau Ilmu Astronomi. Perkataan Falak bererti jalan/lintasan/ peredaran iaitu peredaran bintang-bintang.
Dalam surah Yaasin ayat 40 disebut bahawa: “(Dengan ketentuan yang diberikan oleh Allah) Matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing”.
Pada zaman dahulu ilmu falak dikenal juga dengan Ilmu Nujum yang digunakan untuk meramal berlakunya peristiwa atau nasib. Di kalangan Sarjana Islam, Ilmu Bintang terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
   1) Ilmu Falak/Astronomi yang membahas kedudukan bintang-bintang, pergerakannya dan ketentuan-ketentuan gerhana matahari dan bulan.
   2) Ilmu Astrologi yang membahas perhubungan pergerakan bintang-bintang dengan kelahiran, kematian, kebahagiaan dan kecelakaan, hujan, kesehatan dan lain-lain.
Secara umum ilmu falak boleh diartikan sebagai ilmu yang membicarakan tentang matahari dan bintang-bintang yang beredar, besar kecilnya, jauh dekatnya dari matahari atau juga tentang cakrawala langit, gaya yg bekerja padanya, kedudukan pergerakannya dan lain-lain fenomena yang berkaitan.
Orang-orang Arab pada zaman dahulu pun mengetahui kedua bidang ilmu ini bahkan sejak zaman Jahiliah. Mereka memperolehi ilmu ini dari Yunani/Greek, Parsi, India dan Kaldan. Kemudian ilmu ini diwariskan kepada orang-orang Islam setelahnya.
Umat Islam pertama kali terlibat secara aktif dibidang Ilmu Sains termasuk ilmu falak pada zaman Kerajaan Umaiyah dan Abbasiah. Di zaman Umaiyah tokoh ilmu falak yang terkenal ialah Khalid bin Yazid Al-Amawi (meninggal 85H). Beliau dikenal dengan nama Hakim Ali Marwan. Beliau dianggap orang pertama yang menterjemahkan buku-buku termasuk buku-buku mengenai ilmu Bintang pada pertengahan kurun ke-4 Hijrah didapati dalam Perpustakaan Kaherah sebuah globe dari tembaga karya Batlamus yang ditulis kata-kata bahwa globe itu disediakan untuk Khalid bin Yazid.
Menurut pakar sejarah Al-Mas’udi bahwa Khalifah al-Malik bin Marwan sangat gemar kepada ilmu bintang sehingga ketika berperang beliau membawa ahli ilmu bintang. Di zaman Abbasiah, Khalifah Abu Jaffar Al-Mansor adalah khalifah yang pertama memberi perhatian kepada kajian Ilmu Falak. Baginda mengeluarkan banyak belanja untuk memulai penyelidikan dalam bidang ilmu falak. Baginda mengumpulkan nama sarjana falak yang terkenal di istana Baginda. Dalam pembinaan Kota Baghdad baginda melantik seorang ahli falak bernama Naubakh sebagai Ketua Perancang Projek itu.
Seterusnya perkembangan kajian ilmu falak berkembang pada zaman khalifah Al-Mansor. Usaha menterjemahkan buku Sdihanta dari bahasa Sanskrit ke Bahasa Arab dilakukan oleh Mohammad Al-Fazari yang kemudian ia diberi judul “Al-Sindhindin Al-Kabir”. Buku ini menjadi panduan utama kepada orang-orang arab dalam mengkaji ilmu falak hingga ke zaman Al-Makmun.
Mohammad Al-Fazari merupakan orang Islam yang pertama mencipta astrolabe (jam matahari untuk mengukur tinggi dan jarak bintang). Buku ini telah disalin ke bahasa Latin pada abad pertengahan oleh Johannes de Luna Hispakusis. Buku terjemahan ini telah digunakan oleh universiti-universiti Eropa untuk mengejar Ilmu Bintang. Dari sinilah orang-orang Barat pertama kali mengetahui benda-benda di cakerawala.

      Tokoh-tokoh Ilmu Falak Islam di zaman Abbasiah ialah Abu Sahl bin Naubakh, Ali bin Isa dan Masyaallah yang dikenal sebagai Phoenix pada zamannya. Dalam projek pembinaan Kota Baghdad telah didirikan sebuah ‘observatorium’ (balai ilmu). Di zaman Al-Makmun telah muncul ramai sarjana-sarjana Falak antaranya Thabit bin Qurrah, Al-Battani dan Muhammad bin Musa al-Khawarizmi.
Di zaman Al-Makmun juga telah didirikan sebuah ‘observatorium’ yang digunakan untuk mengukur daya cahaya matahari. Di zamannya juga Ahli Falak berjaya mengukur longkaran bumi sebuah ‘observatorium’ yang didirikan di Bukit Gaisun di Damsyek. Di zamannya juga telah diterjemahkan Alomagest karangan mengenai Ptolemeus ke bahasa Arab. Ahli Falak Islam juga telah mengamati equinox, gerhana bintang berekor (comet) dan lain-lain gejala di langit.
Di samping itu Al-Battani (wafat kira-kira 930M/317H) telah melakukan penyelidikan tentang perbintangan sejak tahun 877 hingga 918M dan bukunya yang telah disalin ke bahasa Latin disusun semula dalam bahasa Arab oleh Nallino (tahun 1903M). Al-Battani telah membahagii sehari kepada 12 jam yang digunakan sekarang oleh tukang-tukang jam di Eropah. Beliau juga telah berjaya mengira setahun bersamaan dengan 356 hari, 5 jam 46 saat dan 24 secant iaitu kurang dalam pengiraan sekarang sebanyak 2 saat 23 secant.


   Al-Battani menduduki tempat tertinggi di kalangan Ahli Bintang dan dikatakan peranannya di kalangan umat Islam sama dengan peranan Ptolemeus di kalangan orang-orang Yahudi. Di zaman-zaman seterusnya lahir tokoh-tokoh Islam yang meneruskan kajian-kajian yang dilakukan oleh al-Battani dan tokoh-tokoh lain dan telah menghasilkan berbagai-bagai kejayaan kepada Ilmu Falak.
Tokoh-tokoh Ilmu Falak yang terkenal pada kurun ke-7 Hijrah ialah Nasiruddin al-Tusi yang hidup di zaman Hulagu Khan seorang Raja Monggol. Al-Biruni (362H-442H) pula merupakan seorang ahli Falak yang terkenal di zaman Sultan Mahmud al-Ghaznawi. Beliau telah meninggalkan berbagai-bagai hasil karya yang antara al-Athar al-Baqiah yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Dr. Sachan. Di zaman Kerajaan Turki Saljuk telah muncul seorang sarjana Falak terkenal iaitu Umar al-Khayyam. Kawannya ialah Abdul Rahman al-Hazimi. Sebenarnya kemasyhuran sarjana-sarjana Falak Islam merebak setiap sudut alam. Mereka menjadi tempat rujuk ilmu Falak.Wilayah Islam yang menjadi tumpuan rujukan Eropa ialah wilayah Andalus (Sepanyol) kerana berdekatan dengan mereka.
Fakta di atas adalah semata-mata untuk menunjukkan betapa umat Islam di zaman kegemilangan, telah menumpukan tenaga yang banyak untuk menguasai ilmu-ilmu sains yang hasilnya telah dirasakan oleh seluruh umat manusia. Kejayaan mereka itu adalah menunjukkan betapa Islam telah menjadi suatu sumber utama bukan saja dari segi panduan hidup tetapi juga dari segi Ilmu Pengetahuan. Inilah semangat yang hendak dibangkitkan di kalangan kita umat Islam.